“最好的竞争,就是与自己每天取得的成就数比较高下。”
Zuì hǎo de jìngzhēng, jiùshì yǔ zìjǐ měitiān qǔdé de chéngjiù shù bǐjiào gāo xià.
Maksud – Bersaing dengan setiap pencapaian diri sendiri setiap hari adalah yang paling baik.
最好的 zuì hǎo de = yang terbaik
竞争 jìngzhēng = persaingan, bersaing
就是 jiùshì = adalah
与自己 yǔ zìjǐ = dengan diri sendiri
每天 měitiān = setiap hari
取得 的 qǔdé de = diperolehi
成就数 chéngjiù shù= pencapaian
比较 bǐjiào = perbandingan
高下 gāoxià = bersaing, bertanding
Kejayaan adalah perkara yang ingin dimiliki oleh setiap orang. Walaupun kayu ukur untuk kejayaan berbeza-beza, namun kebanyakan orang menganggap kejayaan tersebut mampu memberi kebahagiaan dan sesuai dengan matlamat hidup yang ingin dicapai.
Bukan mudah untuk mencapai kejayaan, namun a juga bukan satu perkara yang mustahil. Harga sebuah kejayaan adalah kerja keras, sikap dedikasi terhadap perkara yang dilakukan dan usaha keras kita untuk melakukan yang terbaik untuk perkara tersebut.
Setiap hari kita menghadapi persaingan sama ada dengan orang lain atau diri sendiri. Persaingan yang sihat akan menghasilkan kepuasan hati dan kejayaan yang manis antara orang yang bersaing. Persaingan dengan diri sendiri adalah yang terbaik kerana kita dapat mengukur keupayaan diri masing-masing hari demi hari untuk mencapai kejayaan yang diidamkan.
Dengan adanya persaingan, kita akan menjadi lebih gigih, berdaya saing dan lebih
komited. Sebaliknya, jika tiada persaingan, keadaan ini boleh menyebabkan kita alpa dan
merasakan diri adalah yang terbaik kerana sentiasa berada dalam zon selesa.
Kegagalan yang sebenar ialah apabila kita tewas untuk bersaing dengan diri sendiri.
Pesaing sebenar adalah diri kita sendiri. Ukuran sebuah kemenangan adalah apabila kita
mampu meningkatkan kualiti diri hari ini yang lebih baik dari semalam.